baca sampai habisssss.... ^_^
"Aduhai, kenapakah hidup
aku selalu dirundung malang begini..?" lelaki muda itu berkeluh-kesah.
Selama hidupnya, dia tak pernah merasakan ketenangan yang sebenar. Hatinya
tidak pernah sepi daripada merasakan kerisauan.
Fikirnya, Tuhan tidak pernah
sudi meminjamkan kedamaian hati padanya. Dia sangat cemburu apabila memandang
sekeliling. Mereka bebas ketawa dan mudah tersenyum. Tapi dia? Dia hanya mampu
tenggelam dalam dunia sepi dan resahnya sendiri.
Hatinya tidak mampu mengisi
segala masalah yang menghimpit jiwanya. Lalu, selepas lelah dan puas berfikir,
suatu hari dia melangkah longlai menuju ke hujung kampung. Niat hatinya, ingin
menemui seorang lelaki tua.
Saban hari, wajah lelaki tua
itu sentiasa kelihatan tenang. Damai sentiasa bertamu diwajahnya. Dia ingin
sekali meminta rahsia. Lalu, dia terus berperi kepada lelaki tua tersebut.
Masalah keluh kesah dan
kerisauannya didengari lelaki tua itu sambil tersenyum. Lalu dia mengajak
lelaki itu ke suatu tempat iaitu ke tepi sebuah kolam yang besar sambil membawa
sebiji cawan dan dua bungkus garam. Lelaki itu mengikut, walaupun hatinya
sedikit hairan.
"Anak muda," lelaki
tua itu bersuara.
"Ambillah cawan ini,
isikanlah air dan masukkanlah sebungkus garam," ujarnya lagi. Lelaki itu
yang dalam kebingungan hanya menurut.
Cawan diambil, air diisi dan
garam dimasukkan. Kemudian lelaki tua itu berkata lagi.
"Sekarang kamu minumlah
air tersebut," dalam bingung yang masih bersisa, lelaki itu mengikut kata
lelaki tua itu.
" Apa rasanya?"
tanya lelaki tua itu apabila melihat kerutan di dahi lelaki tersebut.
" Masin!"
Lelaki tua itu tersenyum
lagi.
"Sekarang, kamu masukkan
pula sebungkus garam ini ke dalam kolam itu. Kemudian kamu hiruplah
airnya."
Lelaki tua itu menunjukkan
arah ke kolam. Sekali lagi lelaki itu hanya mengikut tanpa menyoal. Air dicedok
dengan kedua belah tapak tangan dan dihirup.
"Apa rasanya, wahai anak
muda?" soal lelaki tua itu.
"Tawar, tidak masin
seperti tadi," lelaki muda itu menjawab sambil mengelap mulut.
"Anakku, adakah kamu
memahami kenapa aku meminta kamu berbuat begitu tadi?" tanya lelaki tua
itu, sambil memandang tepat ke arah lelaki tersebut. Lelaki itu hanya
menggeleng. Lelaki tua itu menepuk-nepuk bahu lelaki tersebut.
"Anakku, beginilah
perumpamaan bagi diri kita dan masalah. Garam itu umpama masalah. Cawan dan
kolam umpama hati kita. Setiap orang mempunyai masalah, ditimpa masalah dan
diuji dengan masalah. Tetapi, kalau hati kita sebesar cawan, maka kita akan
merasai pahitnya masalah itu, pedihnya hati kita dan keluh kesahnya kita."
"Tetapi kalau hati kita
sebesar kolam, masalah tidak akan mengganggu kita. Kita masih boleh tersenyum
sebab kita akan mengerti masalah bukan hadir untuk menyusahkan kita. Masalah
dianugerahkan untuk kita berfikir, untuk kita muhasabah diri. Masalah dan ujian
akan memberi hikmah kepada kita."
"Anakku, itulah
rahsiaku. Aku sentiasa berlapang dada, aku sentiasa membesarkan jiwaku, supaya
aku boleh berfikir tentang perkara-perkara lain dan masih boleh memberi
kebahagiaan padaku. Aku tidak akan sesekali membiarkan hatiku kecil seperti
cawan, sehingga aku tidak mampu menanggung diriku sendiri."
Maka, pada petang itu lelaki
itu pulang dengan senyuman yang terukir di bibir. Dalam hati, dia berjanji akan
sentiasa membesarkan jiwa dan berlapang dada.
No comments:
Post a Comment
terima kasih sudi membaca di blog saya ^_^