Wahai sahabatku,
Cinta
itu letaknya di hati dan hati itu milik Allah. Tidak mungkin kita dapat
menyentuh hati seseorang tanpa izin Allah dan jika Allah tidak mengkehendaki.
Tidak patut kita serahkan hati kita yang dimiliki Allah itu kepada orang lain
untuk dikuasai atau diperintah. Bahkan memang sepatutnya kita serahkan jiwa dan
raga kita seluruhnya kepada Allah. Adapun rasa cinta yang lahir sesama manusia
itu hanya jalan menuju cinta Allah. Janganlah sekali-kali kita menukarkan
tujuan cinta di hati yang sepatutnya untuk Allah kepada manusia hanya kerana
kita dapat melihat kecantikan manusia dan kita tidak dapat melihat Allah, kita
cuma merasa dan melihat kecantikan segala ciptaan-Nya. Kita lupa dan selalu
tidak sedar hakikat segala kecantikan itu adalah milik Allah. Jadikanlah cinta
kepada manusia itu sebagai jalan menuju Tuhan, bukan matlamat dan pengakhiran
destinasi cinta. Maka engkau akan lebih tenang menerima segala penolakan.
Wahai sahabatku,
Hati
kita meronta untuk mencintai dan dicintai. Alangkah remuk redamnya hati tatkala
apa yang kita cintai tidak kita miliki. Alangkah kecewanya jiwa tatkala cinta
kita tidak dibalas oleh orang yang kita cintai. Ternyata hati itu bukan milik
kita, ia milik Allah. Kita tidak bersalah tatkala cinta itu lahir terhadap
seseorang, tetapi kita keterlaluan tatkala kita memaksa ia kepada seseorang.
Bukankah sepatutnya kita redha dengan ketentuan Allah yang tidak menumbuhkan
cinta terhadap kita di hati orang yang kita cintai? Alangkah zalimnya kita
tatkala kita tidak dapat menerima apa yang telah ditetapkan oleh Allah.
Sedangkan saban hari kita sering tidak menghargai cinta Allah, kita tidak pula
membalas segala anugerah cinta yang Allah berikan kepada kita pada setiap
hembusan nafas, pada setiap detik kehidupan yang kita lalui. Bukankah Allah
lebih layak untuk murka kepada kita kerana kita tidak membalas-Nya dengan
ketaatan yang sepatutnya?
Wahai sahabatku,
Allah
menjanjikan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Yakinlah akan janji
Allah, sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji. Perbaikilah setiap inci
kehidupanmu agar engkau termasuk di kalangan orang yang beroleh pasangan yang
baik. Allah tahu tentang dirimu lebih daripada engkau sendiri. Maka Allah telah
menetapkan untukmu lebih baik daripada apa yang engkau kehendaki. Boleh jadi
engkau cintakan sesuatu tetapi ia buruk bagimu dan begitu juga sebaliknya. Pada
setiap persimpangan kehidupanmu, apakah engkau merasakan bahawa Allah tiada
bersamamu? Bahkan dia sentiasa mendengar dan melihatmu. Persoalannya, apakah
engkau sudah merintih pada-Nya, meminta pada-Nya dan memperlihatkan apa yang
sepatutnya kepada –Nya? Aku berlindung dengan Allah daripada menjadi hamba yang
kufur dan lupa diri.
Wahai sahabatku,
Sungguh
cinta itu telah menjadi faktor yang dapat mengubah sesuatu kepada lebih baik
atau sebaliknya. Ada manusia biasa yang berubah menjadi wali kerana kuasa
cinta, dan ada pula yang bisa menjadi hina kerana dikuasai cinta. Ya, tamadun
itu berkembang dan boleh jadi hancur kerana cinta. Tidakkah engkau melihat Taj
Mahal yang terbina kerana cinta? Sebaliknya, ada pula yang membunuh kerana
cinta. Persoalanku kepadamu, apakah engkau ingin berubah kerana cinta ke arah
Redha Allah atau mungkin lebih jauh daripada Allah?
Wahai sahabatku,
Aku
tidak mengatakan bahawa aku mengetahui segala isi hatimu atau segala kekacauan
yang mengisi jiwamu. Aku cuma ingin berpesan agar engkau tidak meletakkan
keinginanmu lebih tinggi daripada ketentuan Allah. Aku ingin engkau mengerti bahawa
milik Allahlah segala kejadian. Kemudiannya aku ingin engkau membawa kefahaman
tersebut kepada pengamalan dalam kehidupan yang kau lalui agar ia hidup
bersamamu di dalam setiap inci kehidupan. Janganlah engkau mengatakan bahawa
engkau mentaati Allah di saat hidupmu bergelumang dengan jahiliah. Aku juga
sepertimu, anak muda yang bergelora jiwanya. Maka aku berpesan kepadamu agar
aku juga dipelihara Allah daripada segala penyelewengan dalam memahami hakikat
cinta. Aku memohon keampunan kepada Allah atas segala kesalahan yang
kuungkapkan dan kumohon kau doakanlah kebahagiaanku di dunia dan di akhirat
Wahai sahabatku yang kecewa,
Bersabarlah…
Views Views
No comments:
Post a Comment
terima kasih sudi membaca di blog saya ^_^